(Posting 8) Emosi gembira kanak-kanak
April 16, 2025 by admin

PERSEDIAAN ANAK MASUK TADIKA DARIPADA SEGI EMOSI

Fasa anak masuk ke tadika pastinya mencetuskan rasa bimbang dan tidak senang duduk kepada anak kerana fasa tersebut adalah fasa yang baru dalam kehidupan mereka. Anak kita yang selesa duduk di rumah bersama ibu bapa , kini perlu ke tadika dan bakal bertemu suasana dan orang yang baru. Anak kita yang sudah selesa bersama pengasuh atau taska , kini perlu ke tadika yang baru dan mengalami perubahan baru.

Apa yang ibu bapa boleh bantu sediakan mereka daripada segi EMOSI untuk buatkan anak lebih selesa dan bersedia serta tidak terkejut di tadika ?

 

SEBELUM KE TADIKA

  1. Mulakan bercerita kepada mereka tentang tadika beberapa minggu sebelum sesi ke tadika bermula. Bila diceritakan selalu, mereka dapat jangka apa yang berlaku
  2. Ibu bapa boleh menghantar anak ke tadika untuk proses suai kenal mungkin selama sehari seminggu di tadika yang bakal mereka masuk nanti pada tahun hadapan. Ada tadika yang membenarkan proses begini dan kadar bayaran dikenakan mengikut kadar harian. Ibu bapa boleh berbincang dengan pihak tadika jika ingin menggunakan pendekatan ini. Anak akan terbiasa dengan suasana tadika tersebut bila dia masuk secara rasmi pada tahun seterusnya.
  3. Ibu bapa perlu mengetahui jadual di sekolah dan memaklumkan kepada anak-anak tentang jadual tersebut sebelum dihantar ke tadika. Emosi anak lebih stabil jika dia mengetahui apa yang bakal berlaku di sekolah sebagaimana dia mengetahui apa kebiasaan di rumah.
  4. Bacakan buku berkenaan tadika kepada anak sebagai ‘bedtime’ story atau bacaan harian.
  5. Bacakan doa untuk bantu mereka tenang.

SELEPAS KE TADIKA

  1. Sambut dengan senyuman dan ucapan tahniah serta rasa bangga kita.                                                                                                   
    “MasyaAllah, anak ayah dah berjaya pergi tadika hari ini. Tahniah! Ayah bangga dengan kakak sebab berjaya pergi tadika. Allah mesti sayang kakak sebab kakak belajar benda yang baik di sekolah . Moga Allah rahmati anak ayah ini!.”
  2. Sentiasa berkomunikasi dan galakkan anak bercerita untuk dia lepaskan dan maklumkan tentang emosi yang dia lalui di sekolah.
  3. Bertanya tentang keadaan di sekolah dengan soalan yang boleh membina kecerdasan emosi mereka. Contoh,

     “Adik ada tolong kawan di sekolah hari ini?”

    “Kawan ada tolong adik tak hari ini di sekolah?”

    “Adik ada buat kawan happy tak sekolah hari ini?”

    “Kawan ada buat adik happy hari ini di sekolah?”

  4. Validasi emosi anak jika mereka masih sedih dan ada kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan sekolah. Mereka akan menangis . Peluk dan berikan sentuhan.
  5. Berikan ganjaran yang sesuai yang boleh dipersetujui sebelum ke tadika. Sebagai contoh, seminggu ke tadika akan dapat hadiah mainan atau buku cerita.
  6. Ucapkan rasa bangga kerana mampu ke sekolah.

     “Alhamdulillah, Allah bagi abang semangat boleh pergi sekolah. Mama bangga dengan abang.”

Sokongan emosi daripada ibu bapa sangat penting dalam membantu anak menyesuaikan diri di sekolah. Dalam masa yang sama, penting juga untuk ibu bapa menguruskan emosi diri sendiri seperti kasihan, rasa serba salah dan sedih untuk membantu anak mengurus emosinya dengan lebih baik.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *