5 S YANG PERLU IBU BAPA BUAT SEBELUM HANTAR ANAK KE TADIKA
Proses menghantar anak adalah proses perubahan yang besar pada anak , ibu bapa dan keluarga. Anak akan terdedah dengan suasana baru dan gaya didikan yang baru dalam pembentukan iman dan personaliti mereka .
Pastinya ibu bapa perlu melakukan persediaan yang rapi untuk fasa ini. Jom ketahui 5 S yang boleh diusahakan ibu bapa dalam proses menghantar anak ke tadika!
S : SAYANG
Bila ibu bapa bersedia untuk menghantar anak ke tadika, ibu bapa perlu lebih MENYERLAHKAN sayang kepada anak. Sayang itu perlu sampai kepada anak dengan setulusnya dan dalam bahasa yang difahami anak, bukan sayang dalam bentuk “garang ‘.
Kanak-kanak perlu dimaklumkan tentang kemasukan dia ke tadika sejak awal supaya dia bersedia. Mereka perlu mendapat mesej bahawa mereka dihantar ke tadika kerana kita mahukan kebaikan dan mereka merasai kegembiraan dan keseronokan.
“Adik, ibu nak hantar adik pergi tadika , di sana ada kawan baru, ada buku baru , seronok sangat ,”
Banyakkan memeluk dan berborak dengan mereka kerna dengan bercakap, mereka akan rasa diberi perhatian.
S : SYUKUR
Persediaan ini bukan untuk anak tetapi khusus untuk ibu bapa sendiri.Ibu bapa kena jujur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan.
Mungkin anak belum bersemangat untuk tadika tetapi anak berada dalam keadaan sihat.
Syukur ini perlu dilafazkan kepada diri sendiri dan Allah. Bila ibu bapa mengiktiraf nikmat-nikmat ini dan bersyukur, barulah sifat sabar boleh ada.
Mungkin kita kata anak menjerit dengan kuat pada waktu pagi bila ingin ke sekolah, tetapi daripada sudut lain ibu bapa boleh melihat daripada perskpektif badan anak sihat dan aktif. Syukuri dulu nikmat sihat meskipun jiwa anak belum mampu dipujuk ke tadika.
Syukur yang ada dalam diri ibu bapa akan melahirkan suasana yang positif di rumah. Jika suasana positif ini tidak diwujudkan, anak tidak dapat disediakan untuk pergi ke fasa yang baru dalam perkembangan dirinya.
S: SABAR
Bila kita ada syukur, ibu bapa sudah ada landasan yang tepat untuk bersabar. Dengan perspektif syukur, jiwa ibu bapa akan mampu bertahan untuk keadaan yang luar jangka. Bila mendidik anak-anak kecil terutamanya, proses ini tidak boleh diletakkan harapan yang tinggi bahawa mereka akan mengikut semua yang ibu bapa rancangkan. Expect the unexpected.
Mungkin mindset anak disediakan untuk ke sekolah tetapi mungkin banyak kaejadian luar jangka akan berlaku. Mungkin ada waktu pagi, dia dah bersemangat memakai baju, akhirnya tiba di sekolah, mungkin dia tidak mahu ke sekolah.
Menerima keadaan ke tadika ini sebagai ruang pahala untuk ibu bapa yang mana ianya menuntut pengorbanan . Selain pengorbanan kewangan, proses ini memerlukan pengorbanan pengurusan masa dan pengurusan emosi dan rohani.
Keadaan begini sememangnya menuntut sabar yang besar daripada ibu bapa. Namun, dengan perspektif syukur ini , ibu bapa akan ada kekuatan bahawa kesabaran ini akan membuahkan sesuatu yang baik
Bersabar ini bukan semata-mata dalam posisi bertahan, maksud bersabar juga adalah ibu bapa bersabar dalam mengusahakan pilihan-pilihan yang lain. Dalam memujuk anak, ibu bapa perlu buat banyak usaha pada banyak masa. InsyaAllah , berbekalkan ilmu, ibu bapa akan melihat pilihan-pilihan yang boleh dilakukan.
Walaupun anak di usia4-6 tahun, antara usaha yang ibu bapa boleh lakukan ialah dengar apa yang mereka ingin katakana dan cuba faham apa yang dia bimbangkan. Apabila dia menangis, kita berikan piihan-pilihan yang boleh membuatkan kita memahami mereka.
Boleh berikan pilihan soalan-soalan begini,
“Kakak lapar ke?” , “Kakak takut ke?”, ”Kakak teringatkan mainan di rumah”.
Teknik ini akan membuatkan anak mudah untuk bekerjasama dan menimbulkan sabar juga dalam diri ibubapa.
S: SISTEM
Dalam mempersiapkan anak untuk pergi ke tadika, ibu bapa kena mula membina peraturan. Peraturan perlu disesuaikan dengan fasa baru yang bakal ditempuhi.
Contoh, peraturan sedia ada, anak boleh mandi pada pukul 9 pagi, proses memandikan anak perlu dimulakan awal sedikit demi sedikit. Peraturan ini dimaklumkan dengan gembiran dan seronok kepada anak.
“Jom kita mandi awal , jadi ummi boleh sabunkan abang.” Fokusnya untuk membuat mereka gembira dengan sistem baru ini.
Dalam melaksanakan sistem baru ini, ibu bapa wajib bertegas. Pertama sekali, ibu bapa perlu tegas dengan diri sendiri dan memberikan komitmen penuh dalam melatih mereka. Kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti untuk mengikut semua perancangan ibu bapa pada usia ini. Mereka sangat perlu dibantu dan diberikan sokongan.
Sebagai contoh,jika ibu bapa mahu mandikan anak jam 7.30 pagi, ibu bapa perlu ubah rutin bangun diri sendiri daripada 6.30 pagi ke 5.30 pagi. Ibu bapa perlu mendisiplinkan diri untuk perancangan diri. Sistem ini berkaitan juga waktu sarapan anak , juga waktu tidur malam dan waktu attachment dengan ibu dan bapa pada waktu pagi. Ubah secara berperingkat supaya tidak tergesa-gesa kerana tergesa-gesa akan memberi kesan pada jangka masa panjang.
S: SOLAT
Solat yang perlu didisiplinkan kepada ibu ayah , bukan anak kerana mereka masih belum diwajibkan solat. Kenapa solat ini termasuk dalam 5 S sebelum ke tadika ? Kerana ibu bapa kena jelas urusan pendidikan anak-anak juga urusan Allah, bukan semata-mata tadika mana yang didaftarkan, kawan-kawan yang bagaimana di tadika dan guru yang ajar anak-anak. Kesedaran ibu ayah bahawa urusan mendidik anak sentiasa memerlukan Allah kerana banyak perkara di luar kawalan manusia.
فَفِرُّوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ ۖ إِنِّى لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌۭ
Maksudnya : (Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata. (Surah Az-Zariyaat : 50)
Bila solat dititikberatkan, bila ibu bapa hantarkan anak ke tadika, ibu bapa tahu kita perlukan Allah. Perbaikilah solat . Urusan menghantar anak ke tadika adalah urusan yang penting. Mintalah bantuan Allah supaya pengalaman ke tadika menjadi lonjakan kepada anak untuk memiliki peribadi yang teguh dan soleh. Mintalah kepada Allah untuk direzekikan guru-guru yang mempunyai peribadi yang baik, sabar , penyayang dan tegas. Mintalah kepada Allah supaya anak mendapat kawan-kawan yangb mendorong nak membuat kebaikan.
Hubungan ibu bapa dengan Allah perlu rapat .Allah sebagai tuan punya sebenar diri anak-anak kita dan tuan punya syurga yang akan menjadi kediaman kekal untuk anak-anak kita. Pandanglah urusan menghantar anak ke tadika ini sebagai sebuah perjalanan dan urusan kita dalam menyediakan anak untuk ke syurga Allah.
5 S ini perlu kita laksanakan untuk menjadi ibu bapa dan pendidik yang bertanggungjawab. Selamat menghantar anak ke tadika dengan tenang dan bahagia. Anak-anak kita telah masuk fasa baru dalam kehidupannya. Nikmat yang perlu disyukuri dan diraikan dengan ilmu.