KELEBIHAN PENDIDIKAN ISLAM KETIKA MUDA
Fasa kanak-kanak bukan penghalang untuk mereka memahami dan diterapkan pendidikan yang berteraskan nilai-nilai Islam. Usia kanak-kanak yang belum mukallaf atau tidak diwajibkan dengan ibadah bukan sebab untuk kita melengahkan-lengahkan usaha menyemai nilai-nilai Islam dalam diri mereka.
Sebaliknya, nilai-nilai Islam lah yang akan menjadikan mereka sebagai benih yang tumbuh dengan sihat dan menjadi pokok yang subur lalu bermanfaat kepada masyarakat dan diri sendiri.
Anak yang dididik dengan nilai-nilai Islam akan menjadi benih yang cukup sihat untuk dibesarkan dan
ditumbuhkan menjadi mu’min.
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًۭا كَلِمَةًۭ طَيِّبَةًۭ كَشَجَرَةٍۢ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌۭ وَفَرْعُهَا فِى ٱلسَّمَآءِ
Maksudnya : Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. ( Surah Ibrahim , ayat 24 )
Nilai-nilai Islam itu akan membentuk fitrah mereka menjadi lebih mudah melakukan kebaikan dan senang dibentuk untuk memilih kebaikan untuk dilakukan.
TAUHID ADALAH DIDIKAN UTAMA DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Mengenalkan Allah harus menjadi salah satu keutamaan di usia emas kanak-kanak. Mengaitkan segala yang berlaku di sekeliling kanak-kanak adalah urusan yang diatur Allah.
- Ketika mengenalkan nama anggota badan kepada mereka, tekankan , “ Semua anggota badan adik Allah yang cipta untuk adik buat baik,’.
- Ketika mengajar mereka menulis huruf, “ Allah suka kita tulis yang baik-baik. Nanti orang lain pun dapat belajar sesuatu daripada apa yang kita tulis,”.
- Ketika mengajar kanak-kanak adab makan yang betul, “ Makanan ini semuanya rezeki Allah bagi. Jadi, kita layan rezeki Allah elok-elok, nanti Allah akan tambah lagi,”
- Ketika mengajak mereka melakukan aktiviti fizikal, “ Allah suka tau orang yang kuat , sebab tu kita bersenam. Badan sihat, kuat untuk solat, “.
- Ketika mengajarkan mereka matematik, “ Hebatnya Hana dapat tambahkan 2 nombor ini. Terima kasih Allah beri Hana bijak dan pandai mengira,”.
Guru dan orang dewasa di sekeliling kanak-kanak tersebut sentiasa menyebut Allah setiap hari dalam mengajar dan mendidik mereka. Di tadika Dzul Iman, guru sangat ditekankan untuk menggunakan komunikasi bertauhid dalam mengajar kanak-kanak.
Lisan guru mempunyai impak yang besar kepada anak-anak yang mendengar. Bayangkan lisan yang bercakap tentang Allah setiap masa menjadi halwa telinga anak-anak kita ? Impak pada pembentukan iman dan akhlak pastinya bukan biasa-biasa.
Mungkin ada yang merasa dialog begini seakan tak berpijak di bumi nyata, terlalu teorikal untuk dipraktikkan. Tidak sebenarnya.
Dialog tauhid boleh dipraktikkan dan memerlukan latihan serta sifat mindful seorang pendidik dalam menentukan bilakah masa untuk diselitkan.
KALIMAH LA ILAHA ILLALLAH MENJADI PERKATAAN YANG KERAP DILANTUNKAN DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Dalam buku Tarbiyatul Aulad fil Islam, Dr Abdullah Nasih Ulwan menulis, “ Nabi Muhammad S.A.W memerintahkan supaya perkataan pertama yang diajarkan kepada anak adalah La ilaha illallah.
Imam al Ghazali menekankan tentang pentingnya menanamkan aqidah dan mentalqinkannya sejak kecil agar anak tumbuh dengannya.
Setiap anak dilahirkan bersama fitrah keimanan. Allah berfirman,
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ ۖ قَالُوا۟ بَلَىٰ ۛ شَهِدْنَآ ۛ أَن تَقُولُوا۟ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ
Maksudnya : Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”. ( Surah al A’raf, ayat 172 )
Anak-anak sudah beriman dengan Allah ketika di alam roh sebelum dilahirkan ke dunia. Maka , didikan mengenal Allah dan nilai-nilai Islam ini sepatutnya diteruskan untuk menguatkan aqidah mereka.
Setiap hari, selitkan kalimah La ilaha illallah dalam perbualan harian bersama mereka.
MERASA PEMERHATIAN, PENDENGARAN DAN PENJAGAAN ALLAH DI USIA KANAK-KANAK
Hadis Rasulullah,
Maksudnya : …….Kemudian dia berkata lagi: ‘Beritahukan kepadaku tentang Ihsan.’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.’…..
Riwayat Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman
Ini adalah petikan daripada hadis yang panjang ketika malaikat Jibril datang menemui nabi Muhammad .
Kita ingin menerapkan nilai Ihsan kepada diri kanak-kanak. Apakah maksud Ihsan ?
Maksudnya : “Engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.”
Adakah konsep Ihsan ini terlalu rumit untuk dijelaskan kepada anak-anak kecil ? Kita tidak perlu merumitkan cara komunikasi bersama mereka.
Penting untuk kita faham , usia kanak-kanak dalam usia kita menyemai nilai-nilai Islam , jadi kita tidak perlu anak ini memahami konsep ihsan ini secara mendalam.
Cukup untuk kita sentiasa sebutkan Allah sentiasa memerhati mereka ketika melakukan kebaikan dan keburukan.
Allah sentiasa mendengar perkataan yang baik dan buruk yang mereka ucapkan.
Allah sentiasa menjaga mereka di saat susah dan senang.
MENGENAL PARA ANBIYA’ SEBAGAI SUPERHERO MEREKA
Kisah para Anbiya’lah patut jadi makanan harian kepada telinga anak, bukan superhero dari Barat. Qasas Anbiya’ perlu tertanam dalam minda.
Nabi jadi ikutan, superhero, role model, influencer dalam hidup mereka.
Bukan watak kartun superhero Barat semata-mata.
Kita tak nak anak-anak lagi kenal kids influencer, watak fiksyen daripada kenal nabi.
Hadith sahih yang menyebutkan bahawa tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dengan mencintai Rasulullah, dengan menjadikan Rasulullah sebagai orang yang paling dicintainya. Sabda Nabi:
لاَ يؤمِنُ أَحَدَكُم حَتّى أَكُونَ أَحَبّ إِلَيهِ مِن وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنّاسِ أَجمَعِينَ
Maksudnya : “Tidak sempurna iman kamu sehingga dia menjadikan aku orang yang paling disayanginya, lebih dari anak, ibubapa mereka serta seluruh manusia.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Membina iman dan cinta pada para Rasul dalam diri anak-anak adalah proses yang ambil masa.
Antara permulaannya mengenalkan mereka pada sosok-sosok hebat yang dicintai Allah ini.
Jiwa kanak-kanak sememangnya sinonim dengan peribadi yang hebat dan kuat. Kisah sirah nabi dan para sahabat itulah yang menjadi pelengkap kepada keinginan jiwa ini tadi. Pendidikan Islam menuntuk untuk mengikat anak dengan peribadi Rasulullah S.A.W. Beliaulah tokoh yang selayaknya dicontohi.
Kisah perjuangan dan mukjizat para Anbiya’ pasti sangat mengujakan jiwa kanak-kanak yang sukakan pengembaraan dan kehebatan.
Pendidikan awal kanak-kanak perlu diisi dengan nilai-nilai Islam dan tauhid untuk membantu mereka bertumbuh menjadi insan yang bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat. Jangan ketepikan nilai-nilai Islam atas asbab terlalu awal atau anak masih muda.
Usia emas ini lah sepatutnya dimanfaatkan untuk membina tapak yang subur. Tapak yang subur untuk dibangun kebaikan-kebaikan di dalam jiwa kanak-kanak.