Anak-berfikir-Tadika-Dzul-Iman-Smart-Khalifah-Berfikir
July 29, 2024 by admin

Didik Si Kecil Berfikir & Memilih

Usia empat hingga enam tahun merupakan fasa besar dalam kehidupan anak. Segala yang dilihat, didengar dan dirasa pada umur ini akan menjadi pasak dalam kecemerlangan anak apabila dewasa kelak. Adalah amat penting untuk pendidik (ibu bapa/guru) peka apakah keutamaan dalam mendidik bagi anak di usia ini. 

Anak perlu dilihat sebagai ciptaan Allah yang dimuliakan dengan anugerah aqal. Aqal memberi kita kemampuan mengenal Allah s.w.t dan memakmurkan dunia melalui kebolehan berfikir, mencipta dan mentadbir. Kehebatan dan peranan besar aqal ini perlu diiktiraf sejak kecil.

Biasakan anak-anak kecil kita membuat pilihan sendiri, semudah pensil mana yang ingin dibawa ke sekolah. Seterusnya izinkan dia membuat pilihan yang lebih serius, contohnya pukul berapa ingin solat Asar, 4.30 petang atau pukul 5 petang.

Pendidik kepada anak-anak di usia ini, haruslah tidak bersikap seperti PENGARAH. Sebaliknya pendidik perlu menjadi PENGARUH (influence) yang baik.

Caranya ialah dengan menerangkan kesan sesuatu perbuatan dengan jelas dan mudah kepada anak. Anak faham bahawa tiap tindakan mempunyai kesan buruk, baik dan lebih baik.

Seterusnya pendidik sentiasa bersedia mengukuhkan pilihan anak dengan kata-kata yang positif terhadap kesan baik usaha anak itu. Contohnya, “Kemas Aina susun buku, selesa untuk belajar, tentu Allah suka” Dorongan berterusan sebegini, akan melatih anak untuk berfikir dan memilih, sebelum melakukan sesuatu.

Paling penting, anak akan menyedari bahawa sebagai Khalifah Allah, dia mempunyai satu kekuatan istimewa iaitu kemampuan untuk berfikir dan membuat pilihan – ‘the power to think and choose’. Anak akhirnya terbiasa untuk tidak menyalahkan orang lain serta berinisiatif dalam memperbaiki sesuatu keadaan.

Fokus didikan yang mensasarkan aqal dan jiwa anak ini akan melahirkan anak yang cemerlang dan bertanggungjawab serta mampu membuat keputusan-keputusan besar lagi benar, sepanjang hayatnya, insyaAllah!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *