‘Tujuan’ dan ‘Tanggungjawab’

‘Tujuan’ dan ‘Tanggungjawab’

Dua perkataan ini perlu dihidupkan di dalam perbualan harian kita dengan anak. Ia sangat membantu membina peribadi yang berfikir dan bertindak dengan sedar.

Tanpa perlu formal atau serius, kita boleh mula menggunakan dua perkataan ini.

.
Situasi satu:
Sebaik kakak mengangkat tangan untuk berdoa selepas solat, ummi bertanya,

“Apa tujuan kakak berdoa?”
“Untuk minta tolong pada Allah.”

Jawapan kakak ummi sambut dengan senyum dan siap menadah tangan. “Jom kita minta tolong pada Allah.”

Doa kakak hari itu, terasa lebih bermakna.
.
.

Situasi dua:
Ketika anak kecil itu menceduk sayur yang agak banyak ke pinggannya, guru tidak menghalang. Sebaliknya guru bertanya,

“Boleh bertanggungjawab? Tiap yang diambil, mesti dihabiskan. Boleh bertanggungjawab ya?” Soalnya lembut namun jelas.

Anak kecil itu mengangguk, yakin. Dan sayur itu dihabiskannya tanpa perlu diarah-arah.

.
Jika dialog seumpama ini dibiasakan dengan anak-anak kita, mereka akan mula bertindak dengan dorongan dalaman (intrinsic motivation) yang berasaskan matlamat dan tujuan yang jelas. Mereka juga belajar mengambil tanggungjawab atas pilihan mereka.

Yang penting, olahan dialog perlu disesuaikan dengan usia anak kecil kita. Semoga kita dapat kembali menjadikan berbual-bual sebagai medan mendidik yang besar.

#notaTripPadang