Modal Tiga Ratus, Usrah Sebagai Nukleus

Susrah2ejarah Dzuliman – Bahagian 2

Dzul Iman dimulakan dengan modal RM300 seorang, daripada lima orang sahabat baik. Saat itu, itulah yang kami mampu. Maklum saja masih bergelar pelajar. Mungkin inilah yang disebut ‘lean startup’. Mula dengan apa yang ada di tangan.

Memandangkan kami semua mempunyai pengalaman dalam kumpulan fasilitator UIA ‘Steadfast’, kami memilih untuk menawarkan khidmat latihan sebagai bisnes pertama (Jazakillahu khair buat yang dikasihi, puan Martinelli Hashim yang merupakan kakak besar yang mendidik dan membimbing kami ketika itu. Sampai mati kami terhutang budi pada kak Nelli💓)

Jumlah RM300x5 itu kami laburkan untuk menyediakan dan mencetak kertas kerja bagi program latihan yang kami tawarkan. Zaman itu, dengan ekses komputer yang terhad, terkial-kial juga nak buat semua tu. Kami dibantu kakak dan abang dalam lingkungan keluarga Abim. Antara mereka adalah Puan Ati Saad, Puan Saidatul Bariah dan Tuan Nizal. Kami amat tersentuh dengan kepercayaan yang mereka beri pada kami. Alhamdulillahi Allahuakbar!

Dengan kertaskerja dan semangat anak muda, kami bergerak ke sekolah-sekolah. Banyak yang menolak. Ada yang menerima. Hairan juga bagaimana kami tidak kecewa? Wang tiada, bimbang juga tiada😄 Kami hanya fokus pada kerja, dan merasa cukup bahagia.

Keinginan untuk berkongsi ilmu dengan adik-adik di sekolah menjadi motivasi berterusan. Ikhlas dan istiqamah adalah kekuatan tak terkalah. Kursus Teknik Belajar Berkesan serta Kursus Kepimpinan antara yang mula diterima oleh pihak sekolah. Kami juga turut dijemput memberi khidmat latihan di beberapa IPTA.

Perlahan-lahan kami membesarkan modal. Terbukalah lebih banyak pilihan, dalam perniagaan dan pendidikan. Dari situlah kami memulakan kelas-kelas alQuran, yang kemudiannya berkembang menjadi rangkaian tadika Dzul Iman.

Kami percaya fasa awal ini mampu kami tempuhi, hasil didikan yang diterima melalui ‘usrah’ yang kami lalui saban minggu di UIA. Membawa fikrah ABIM, usrah kami yang tidak formal dan digerakkan rakan sebaya itu, menyemai iman pada Allah dan menyemarak cinta pada ilmu. Mengajar indahnya khidmat pada ummat. Juga sentiasa mengingatkan destinasi akhirat.

Usrah (informal study circle) seolah menyediakan ‘internal monitoring system’ yang sama di kalangan kami. Ia memudahkan penyelesaian bagi sebarang konflik di antara rakan kongsi. Penekanan usrah pada kepentingan ilmu dan budaya berbincang, sangat membantu dalam mengurus fasa awal perniagaan yang selalu di luar jangkaan.

Hingga ke hari ini usrah menjadi nukleus kepada seluruh perjuangan Dzul Iman. Semua guru Dzul Iman terlibat dalam kumpulan usrah di cawangan masing-masing. Sesi santai dwi mingguan ini turut menjadi ruang sokongan kerja dan pemantauan tidak rasmi dalam memastikan keberkesanan pengajaran guru. Pembinaan peribadi guru, terutama dalam membina sikap amanah dan IHSAN bertuhan, banyak berlaku di dalam usrah, dalam aura kekeluargaan, penuh ukhuwah😍
Jom usrah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *