Lillah, Billah, Bismillah

Gadis manis itu berdiri, “Ibu-ibu, mohon berikan kata-kata semangat yang ‘deep’…”

Permintaan ini ditujukan pada kami sebagai panel sembang santai sempena ‘Breakfast Talk CINTA’ Sabtu lalu. Program ukhuwah bersama guru dan staf di bawah pentadbiran HQ Dzul Iman.

Saya kongsikan ini sebagai panduan:

1. Lillah
Dalam melakukan apa saja, carilah Allah. Jika kita jelas sesuatu itu kita buat kerana Allah, LILLAH, insyaAllah kita akan bertemu ikhlas. Hadir ikhlas, hilanglah takut hilanglah malas. Keikhlasan adalah kekuatan yang dapat mengalahkan nafsu. Malah keikhlasan menjadi perisai kita dari hasutan syaitan. (rujuk al Hijr: 39-40)

2. Billah
Jangan bekerja sendiri. Sentiasalah bekerja bersama Allah. Doa dalam tiap usaha dan kerja kita. Mohon campurtangan Allah. Minta bantuan Allah dalam senang dan susah kita. Percaya hanya Allah yang melaksana semuanya.

Billah! Kita ada Allah, justeru jangan merasa lemah. Dia tidak pernah tinggalkan kita. Allah sifatnya Maha Dekat – Al Qarib. Kitalah yang sering menjauh. Tetaplah mendekat padaNya. Bekerja dalam keadaan aqrab dengan Allah, billah💪

3. Bismillah
Bismillah sebanyaknya dalam tiap tindakan yang kita buat. Penyerahan dari titik mula usaha, hingga ke hujungnya. Yang dicari adalah keberkatan dan redha Tuhan.

Apabila kita mahu usaha diberkati, pasti kita menjadi teliti. Tiada bohong, umpat dan benci. Kita tahu Allah Maha Tahu. Mencari berkat menjadikan kita cermat. Kita sanggup bersusah payah demi memelihara berkat kerana kita yakin apabila sesuatu usaha itu berkat, impaknya tak mampu disukat.

Buat anakanda yang sudi bertanya…

setiap awal pagi ketika anakanda menolak pintu pagar tadika untuk membuka gelanggang jihadmu, peganglah ini:

Lillah, Billah, Bismillah 💗

.
#mewariskankebenaran
.

Ditulis oleh Puan Badariah Ismail,
Pengasas Dzul Iman Smart Khalifah