GURU TAK ADIL?

Oleh : Puan Badariah Ismail

Bila anak mula bersekolah, mereka akan terdedah dengan ‘ketidakadilan’ yang TIDAK disengajakan di pihak guru. Maklumlah suasana sekolah dengan pelajar yang ramai. Ibuayah perlu membantu anak menempuh realiti tersebut secara positif. Jangan sampai anak hilang kepercayaan pada gurunya. Anak perlu terus diterapkan agar hormat dan beradab dengan guru.

“Ummi, sekolah kita kan dah ramai sekarang. Jadikan muallim tak nampak semua orang kan, muallim kata semua orang buat salah. Muhammad dah buat betul, tapi macam tu lah…” kecewa benar anakanda bila kesalahan diletakkan secara pukal pada semua pelajar.

“Bagus Muhammad usaha buat yang betul (Y) Muallim kan manusia juga, tak mampu nampak semua orang serentak. Muallim berpesan tu untuk yang buat salah. Muhammad dah buat betul, Muhammad dengar aje lah”, ummi memujuk.

“Tapi muallim kata semua orang buat salah ummi. Tak adil macam tu”.

“Muallim pun kadang-kadang tersilap. Tapi Muhammad tak perlu risau, Allah kan nampak. Allah dah beri pahala. Bila muallim tersilap, Muhammad bersabar dan maafkan, tambah lah lagi pahala Muhammad” ummi terangkan dengan positif dan gembira.

Ummi cuba tunjukkan yang keadaan ini boleh diurus jika kita ingat pada Allah. Beruntung jika anak pandai mengurus resah jiwanya sendiri. Didik anak mengawal emosi melalui ruang sebegini. Ia dapat menguatkan dan mematangkan jiwa anak kita.

Kejadian sebegini adalah sebahagian dari ketidakadilan yang biasa berlaku dalam perhimpunan pagi dan seumpamanya. Teguran umum kadang-kadang menimbulkan rasa tidak adil pada pelajar yang telah bersungguh mengikut peraturan. Yang berhati-hati mentaati pesan guru.

Jika ketidakadilan ini TIDAK melibatkan tuduhan peribadi atau menjatuhkan maruah anak, ibuayah tidak perlu terlibat jauh. Memadai dengan mendengar keluhan anak dan membantunya menerima realiti kehidupan yang ada pahit manis ini. Jika anak mengadu seratus kali, maka seratus kali lah kita bersedia mendengar dan mendidik secara berterusan.

Berusahalah untuk ajar anak empati dengan guru, sabar dan maafkan kesilapan kecil sebegitu. Sentiasa teguhkan anak untuk terus melakukan kebaikan. Walau guru tidak nampak, malaikat setia mencatat. Walau guru kadang tersilap, anak kekal beradab.

Hormat guru, berkat ilmu 🙂

.
#didikAnakUrusEmosi