Dzul Iman dan Dinamika

usrah1Sejarah Dzuliman – Bahagian 1

Berbincang di bilik kecil kolej kediaman Aishah College, beberapa pelajar perempuan itu akhirnya sepakat memulakan perniagaan atas nama Dinamika. Saat itu kami masih menjadi pelajar UIA, PJ sekitar tahun 1993, di usia 23 tahun…macam terlupa pernah muda😍

Kini 24 tahun kemudian, Dinamika Training Consultant Sdn Bhd. merupakan pemilik jenama Dzul Iman dengan rangkaian 50 buah tadika, dan terlibat menubuhkan sebuah sekolah rendah wakaf ummat. Didokong oleh lebih 30 rakankongsi yang jelas misi, serta lebih 260 guru yang berkhidmat mendidik setiap hari, alhamdulillah, la quwwata illa billah!

Nama ‘Dinamika’ disepakati atas kesedaran bahawa da’wah sentiasa memerlukan perubahan ke arah yang lebih baik. Ia juga menunjukkan komitmen kami untuk berfikiran terbuka dan fleksibel dalam mendepani segala kemungkinan di masa depan. Maklum saja gadis bujang, boleh tergugat semangat berniaga, saat dilamar putera idaman. ‘Flexibility supports unity’.

Alhamdulillah, ciri ‘dinamika’ ini antara faktor yang membantu kami meneruskan perjuangan bersama-sama sejak lebih 20 tahun. Pelbagai perubahan ditempuhi dengan kecekalan dan kepercayaan bahawa perbezaan adalah kekuatan. Dari status pelajar hingga mendapat ijazah. Dari status bujang, hinggalah berkahwin seorang demi seorang. Tidak mudah mengekalkan kebersamaan dan meneruskan momentum da’wah melalui perniagaan, saat masing-masing melalui fasa berkahwin dan beranak kecil.

Dinamika wujud pada gerakerja kami. Bentuk perniagaan dan pembahagian tugasan berubah atas keperluan semasa, juga keperluan keluarga. Kerja berjamaah memungkinkan kami bergilir memberi fokus pada bisnes dan keluarga berdasarkan keutamaan yang disetujui bersama.

Bagaimanapun, kedinamikan sesuatu gerakan atau perniagaan hanya bermanfaat apabila ia dipasak pada prinsip yang kukuh. Dinamik tanpa prinsip hanya menjadikan kita rapuh. Antara prinsip yang kami sepakati dan tidak pernah berubah adalah peranan utama kami sebagai isteri dan ibu dalam keluarga. Juga peranan ilmu dan alQuran dalam seluruh gerakerja da’wah dan perniagaan. Bisnes sebagai jalan, Allah sebagai tujuan. Dakwah fillah kekal sebagai matlamat, tanpa digugat, InsyaAllah.

Semoga catatan kecil ini bermanfaat buat adik-adik dan anak-anak yang sedang berjuang menyumbang dalam pelbagai gelanggang. Doakan kami. Moga Allah terus beri kekuatan untuk mewariskan kebenaran melalui Dinamika dan Dzul Iman. Allahumma amiin ya Aziz ya Rahmaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *