‘Lesson Plan Aidil Adha

Menjemput semua guru-guru tadika untuk sharing PERCUMA ‘Lesson Plan Aidil Adha‘.

Tema: Kasih Sayang dan Pengorbanan. Beserta lagu dan aktiviti menarik untuk anak kecil.

Tarikh : 10 Ogos 2018
Jam : 10pagi-1130pagi
Lokasi : Kahfi Dzul Iman, USJ9, Subang Jaya.

Hubungi Cik Sina untuk daftar percuma 0172419238

Lawatan daripada TASKI ABIM Johor

Lawatan daripada TASKI ABIM Johor

Alhamdulillah.

Pada 27/7/2018,  Dzul Iman telah menerima lawatan daripada TASKI ABIM Johor. Sesi berkongsi pengalaman dan pendekatan kaedah khalifah yang menjadi tunjang belakang keseluruhan sistem pendidikan di Dzul Iman Smart Khalifah telah berjalan dengan jayanya.

Terima kasih TASKI ABIM atas kunjungannya 

 

Aidil Adha dan Pendidikan Anak Kecil

Aidil Adha dan Pendidikan Anak Kecil
Gambar kredit kepada Puan Malia, Principal of Dzuliman Salak Tinggi

Memperkenalkan Aidil Adha kepada anak kecil perlu dibuat atas kesedaran tentang nilai pendidikan yang ingin disemai. Pendekatannya juga mestilah mesra anak kecil agar mesejnya sampai.

Perkataan Aidil ADHA sendiri mengangkat makna KORBAN. Ia adalah Hari Raya Korban, walau masyarakat kita lebih biasa menyebutnya Hari Raya Haji. Haji hakikatnya adalah ibadah yang membawa intipati korban itu sendiri.

Intipati korban di dalam meraikan Aidil Adha wajar dibawa kepada anak-anak dengan lebih tepat, dan dengan sesuatu yang lebih dekat dengan mereka. Pada makna korban, anak dididik untuk memahami betapa kasih sayang menjadi landasan hubungan sesama insan, juga dengan Tuhan. Betapa berkorban adalah sifat mulia yang lahir dari kasih sayang dan sikap mengutamakan orang lain. Anak belajar bahawa hidup mempunyai tujuan yang lebih besar dari diri kita sendiri.

Bagaimana nilai kasih sayang dan pengorbanan ini disemai? Anak kecil gemar sekali memperhatikan haiwan korban dan proses sembelihan. Anak juga mungkin teruja dengan kemeriahan menghantar atuk di lapangan terbang untuk ke Makkah mengerjakan haji. Semua ini boleh dijadikan ruang pendidikan. Namun adakah cara yang lebih dekat dengan hati anak?

Dalam kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, kita kadang terlepas pandang pada sosok mulia yang meneguhkan perjuangan dan pengorbanan dua insan pilihan ini. Di sana ada Bonda Hajar RA yang tinggi tawakkal dan sangka baiknya.

Kesungguhan Bonda Hajar mencari air hingga dirakam dalam ibadah sai’e boleh diangkat sebagai peristiwa yang menyerlahkan tawakkal seorang hamba dan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Anak-anak mudah tertarik dengan kisah yang melibatkan bayi. Apalagi bila dihujung episod ini, Allah menghadiahkan air zam-zam yang kita nikmati hingga hari ini. Peristiwa Hajar RA dan bayinya Ismail AS boleh menjadi ruang bercerita yang menarik dan dekat di hati anak.

Minum air zam-zam serta berkreatif membuat kraf tentang telaga zam-zam dan seumpamanya, dapat memberi anak pengalaman yang meneguhkan nilai yang ingin disemai dari kisah benar ini.

Dengan perspektif ini, anak belajar menghargai kasih sayang dan pengorbanan ibu ayah serta perlunya kita saling berkorban dalam membawa seluruh keluarga pada ketaatan dan kejayaan sebenar.

Dengan pendekatan yang baik, kita boleh membangkitkan rasa terhutang budi kepada orang-orang terdahulu. Pengorbanan para nabi, nenek moyang dan ibu ayah kita dalam memberi ilmu, didikan dan keselamatan buat kita. Sejarah pengorbanan dan kasih sayang mereka mengizinkan kita mengenal makna Merdeka. Atas asas ini juga kita meraikan Hari Raya Korban, Aidil Adha.

#pendidikterdidik
#mewariskankebenaran
.

Oleh: Puan Badariah Ismail, Pengasas Dzul Iman Smart Khalifah

Seminar : Creating Khalifah Teachers

Seminar : Creating Khalifah Teachers

Terbuka kepada guru-guru tadika dan taska yang mencita-citakan pembelajaran yang CERIA dan BERMAKNA.

Membina guru yang mendidik dengan kasih sayang dan kesedaran berTuhan.

Pelajari teknik komunikasi positif dan terarah.

 

Tarikh : 28/7/2918

Masa : 9.00 pagi – 4.30 petang

Lokasi : Pusat Latihan Dzul Iman, USJ 9

Yuran : RM100.

Hubungi segera: 017 241 9238

APAKAH TANDA ARAS KEJAYAAN KITA?

APAKAH TANDA ARAS KEJAYAAN KITA?

Tanda aras kejayaan sebuah pendidikan biasanya diukur pada pencapaian pelajarnya. Namun sebelum pelajar mendaki tangga jaya, mereka perlukan guru yang mengenal apakah makna berjaya. Jika tidak, mungkin saja yang disangka berlian hanyalah kaca. Jika pandangan guru hanya sebatas dunia, anak-anak mungkin tidak ditunjuk jalan syurganya.

Untuk berjaya, pendidik mestilah lebih dahulu terdidik. Terdidik dengan teknik-teknik terkini, namun lebih utama, terdidik dengan tujuan sebenar pendidikan. Tujuan yang benar akan menyerlahkan tanda aras yang sepatutnya. Antara tanda aras kejayaan pendidikan ialah ia mampu membawa pendidik semakin akrab dengan Tuhan.

Penat lelah para pendidik dalam memandaikan anak-anak, sepatutnya menjadi proses yang menambah iman dan kebergantungan pendidik kepada Allah. Proses mendidik menjadikan pendidik peka terhadap apa yang Allah suka. Menyantuni sunnatullah dalam hikmah menyampaikan ilmu, serta mentaati syariatullah dengan segala upaya yang mampu.

Mengajar anak membaca sepatutnya menjadikan para guru tambah mencintai ilmu. Menghormati proses belajar dan mensyukuri mahalnya anugerah akal. Mengajar Sains sepatutnya membawa kesan ‘Subhanallah’ kepada guru, sebelum rasa itu tiba menjadi makna di jiwa anak-anak didik kita.

Apalagi dengan kekuatan alFatihah yang kita ingatkan anak di setiap himpunan pagi. Saat membacanya, pendidiklah yang merasa kekuatan mukjizat alQuran serta rahmat yang turun bersamanya. Ucapan solawat harian bukan sekadar rutin. Guru-guru sedar bahawa solawat menjadi bukti cinta pada baginda Muhammad sollallahu ‘alaihi wasallam dan jalan pada syafaat di hari akhirat.

Pendidik yang punya hubungan penuh sedar (ihsan) dengan Pemilik Alam pastinya mampu memberikan kesan berbeza pada anak didiknya. Mengenalkan insan pada Tuhan adalah tugas besar yang meminta iman dan keikhlasan. Berkat ilmu akan berterusan bila guru beramal dengan ilmunya. Insyaallah, anak-anak istiqamah atas ilmu yang dipelajari tanpa perlu dipaksa-paksa.

Tugas melahirkan pendidik yang terdidik atas kebenaran bukanlah satu kerja mudah. Ia perlu menjadi keutamaan di dalam institusi agar tidak tercicir dalam sibuk mengejar spesifikasi dan piawai yang ditetapkan manusia. Adakalanya sanjungan insan melupakan kita pada makna sebenar kejayaan dan peri pentingnya pandangan arRahmaan.

Definisikanlah semula makna kejayaan kita. Letakkan sasaran dan tanda arasnya. Ada yang mampu dinilai dengan angka. Ada juga yang menjadi rahsia namun perlu sering diulang bicara. Sepertimana khusyuk solat bukan kemampuan kita mengukurnya, namun menjadikan ia sasaran adalah perjuangan yang berterusan.

Maka apakah sasaran pendidikan kita dan apakah tanda aras kejayaannya? Apakah anak-anak didik kita sedang melangkah di lorong kejayaan sebenar? Who is leading them? Akhirnya kita akur, mendidik pendidik adalah komitmen utama kita. Atas semangat surah Al-‘Alaq yang membawa perintah “Bacalah!”, kita berharap para pendidik kita mencapai tanda aras utama kejayaan insan yang disebut di akhir surah- “…wasjud waqtarib” – dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhanmu)

.
#mewariskankebenaran
#pendidikterdidik

La haula wala quwwata illa billah!

Perkongsian di Muzakarah PEDA IKRAM-Musleh

Perkongsian di Muzakarah PEDA IKRAM-Musleh

Pada 19/07/2018, Dzul Iman Smart Khalifah telah berpeluang untuk membuat perkongsian di Muzakarah PEDA IKRAM-Musleh.

Dzul Iman diwakili kak Hanani Saman yang juga merupakan salah seorang pengasasnya.

“Mendidik perlu fokus kepada jiwa anak (ruh). Anak-anak harus dimuliakan dan guru perlu menjaga bahasa yang digunakan. Membina cinta itu lebih besar dari memberi kemahiran. Semua kemahiran yang dibina tanpa cinta hanya akan menyebabkan ia ditolak.”

Membina MAHU Bukan Sekadar TAHU

Membina MAHU Bukan Sekadar TAHU

“Abang, macam mana nak solat taubat?” tanya adik yang berusia sembilan tahun.

Abang dengan senang hati menerangkan tatacara solat taubat kepada adik perempuannya. Adik mengangguk faham. Ditunaikan solat taubat dengan tertib.

Ummi yang memandang dari jauh, tersentuh melihat gelagat gadis kecilnya. Juga kematangan si abang membantu adik, walau usia mereka hanya terjarak dua tahun sahaja.

Usai adik solat, ummi bertanya penuh rasa ingin tahu, “Kenapa adik solat taubat?”

Adik menjawab dengan nada perlahan, “Tadi adik main sabun di bilik air. Adik tahu adik salah. Sebab tu adik solat taubat minta ampun dari Allah. Adik minta maaf ummi.”

Bahagia ummi melihat semangat adik untuk menjadi baik. Sesuatu yang menenangkan bila adik memilih untuk mohon ampun kepada Allah melalui solat.

Apabila anak sudah tertanam rasa cinta SOLAT, mereka akan solat tanpa perlu diarah atau dimarah. Apabila anak memiliki rasa MAHU solat, mereka berusaha untuk TAHU tentang solat.

Walau adik tidak faham tatacara solat taubat, namun adik berinisiatif untuk tahu, kerana hatinya mahu solat.

Mari kita mendidik anak mencintai solat, mengikut fitrah bersandar sunnah Rasulullah SAW. Ibuayah sebagai model terbaik yang mendidik dengan bahasa dan proses yang terarah.

Poster yang dilampirkan ini membantu menerangkan proses itu. Penerangan yang lebih jelas boleh didapati di dalam buku ‘Ummi Muhammad Mahu Solat’. (Beli atas talian @RM10 sebuah. Link di komen pertama)

Mendidik anak solat dengan membina rasa MAHU, bukan sekadar TAHU. Mendidik anak solat dengan CINTA💕