Aidil Adha dan Pendidikan Anak Kecil

Gambar kredit kepada Puan Malia, Principal of Dzuliman Salak Tinggi

Memperkenalkan Aidil Adha kepada anak kecil perlu dibuat atas kesedaran tentang nilai pendidikan yang ingin disemai. Pendekatannya juga mestilah mesra anak kecil agar mesejnya sampai.

Perkataan Aidil ADHA sendiri mengangkat makna KORBAN. Ia adalah Hari Raya Korban, walau masyarakat kita lebih biasa menyebutnya Hari Raya Haji. Haji hakikatnya adalah ibadah yang membawa intipati korban itu sendiri.

Intipati korban di dalam meraikan Aidil Adha wajar dibawa kepada anak-anak dengan lebih tepat, dan dengan sesuatu yang lebih dekat dengan mereka. Pada makna korban, anak dididik untuk memahami betapa kasih sayang menjadi landasan hubungan sesama insan, juga dengan Tuhan. Betapa berkorban adalah sifat mulia yang lahir dari kasih sayang dan sikap mengutamakan orang lain. Anak belajar bahawa hidup mempunyai tujuan yang lebih besar dari diri kita sendiri.

Bagaimana nilai kasih sayang dan pengorbanan ini disemai? Anak kecil gemar sekali memperhatikan haiwan korban dan proses sembelihan. Anak juga mungkin teruja dengan kemeriahan menghantar atuk di lapangan terbang untuk ke Makkah mengerjakan haji. Semua ini boleh dijadikan ruang pendidikan. Namun adakah cara yang lebih dekat dengan hati anak?

Dalam kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, kita kadang terlepas pandang pada sosok mulia yang meneguhkan perjuangan dan pengorbanan dua insan pilihan ini. Di sana ada Bonda Hajar RA yang tinggi tawakkal dan sangka baiknya.

Kesungguhan Bonda Hajar mencari air hingga dirakam dalam ibadah sai’e boleh diangkat sebagai peristiwa yang menyerlahkan tawakkal seorang hamba dan kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Anak-anak mudah tertarik dengan kisah yang melibatkan bayi. Apalagi bila dihujung episod ini, Allah menghadiahkan air zam-zam yang kita nikmati hingga hari ini. Peristiwa Hajar RA dan bayinya Ismail AS boleh menjadi ruang bercerita yang menarik dan dekat di hati anak.

Minum air zam-zam serta berkreatif membuat kraf tentang telaga zam-zam dan seumpamanya, dapat memberi anak pengalaman yang meneguhkan nilai yang ingin disemai dari kisah benar ini.

Dengan perspektif ini, anak belajar menghargai kasih sayang dan pengorbanan ibu ayah serta perlunya kita saling berkorban dalam membawa seluruh keluarga pada ketaatan dan kejayaan sebenar.

Dengan pendekatan yang baik, kita boleh membangkitkan rasa terhutang budi kepada orang-orang terdahulu. Pengorbanan para nabi, nenek moyang dan ibu ayah kita dalam memberi ilmu, didikan dan keselamatan buat kita. Sejarah pengorbanan dan kasih sayang mereka mengizinkan kita mengenal makna Merdeka. Atas asas ini juga kita meraikan Hari Raya Korban, Aidil Adha.

#pendidikterdidik
#mewariskankebenaran
.

Oleh: Puan Badariah Ismail, Pengasas Dzul Iman Smart Khalifah