Aidil Adha dan Pendidikan Anak Kecil

AIDIL ADHA DAN PENDIDIKAN ANAK KECIL
-satu perkongsian-

Memperkenalkan Aidil Adha kepada anak kecil harus dibuat atas kesedaran tentang nilai pendidikan yang ingin disemai. Pendekatannya mestilah mesra anak kecil agar mesejnya sampai.

Perkataan Aidil ADHA sendiri mengangkat makna KORBAN. Ia adalah ‘Hari Raya Korban’, walau masyarakat kita lebih biasa menyebutnya Hari Raya Haji. Haji hakikatnya adalah ibadah yang membawa intipati korban itu sendiri.

Intipati korban wajar dibawa kepada anak-anak dengan sesuatu yang dekat dengan mereka. Pada makna korban, anak dididik untuk memahami betapa kasih sayang menjadi landasan hubungan sesama insan, juga dengan Tuhan. Betapa berkorban adalah sifat mulia yang lahir dari kasih sayang dan sikap mengutamakan orang lain. Anak belajar bahawa hidup mempunyai tujuan yang lebih besar dari diri kita sendiri.

Bagaimana nilai kasih sayang dan pengorbanan ini disemai pada anak kecil? Anak mungkin teruja melihat haiwan korban disembelih, atau teruja menghantar atuk di lapangan terbang untuk ke Makkah. Kedua situasi ini boleh menjadi ruang pendidikan jika diurus dengan baik.

Namun di sana masih ada sisi pendidikan yang dekat di hati si kecil, tapi sering kita terlepas pandang. Itulah pengorbanan seorang ibu buat bayinya. Kesungguhan Bonda Hajar RA mencari air hingga dirakam dalam ibadah sa’ie, menyerlahkan tawakkal seorang hamba, dan kasih sayang ibu pada anaknya. Lebih menarik bila dihujung episod ini, Allah menghadiahkan air zam-zam yang kita nikmati hingga hari ini.

Teruskanlah berkisah tentang Nabi Ismail RA ketika remaja. Betapa ketaatannya serta bapanya, Nabi Ibrahim AS, diuji dengan perintah sembelihan. Rupanya ia hanya ujian Tuhan bagi menyerlahkan iman. Yang sebenarnya disembelih adalah haiwan korban.

Ibadah sa’ie, perintah sembelih korban serta wujudnya telaga zam-zam, terkait dengan Nabi Ismail AS. Peristiwa yang mengitari si kecil Ismail AS (The Blessed Little One) boleh menjadi ruang bercerita yang menarik dan dekat di hati anak. Minum air zam-zam serta berkreatif membuat kraf tentang telaga zam-zam dan seumpamanya, dapat memberi anak pengalaman yang meneguhkan nilai yang ingin disemai dari kisah benar ini.

 

Dengan perspektif ini, anak belajar menghargai kasih sayang dan pengorbanan ibu ayah serta perlunya kita saling berkorban dalam membawa seluruh keluarga pada ketaatan dan kejayaan sebenar.

Melalui pendekatan yang sesuai, kita boleh membangkitkan rasa terhutang budi kepada orang-orang terdahulu. Pengorbanan para nabi, nenek moyang dan ibu ayah kita dalam memberi ilmu, didikan dan keselamatan buat kita. Pengorbanan dan kasih sayang mereka juga yang mengizinkan kita mengenal makna Merdeka.

www.dzuliman.com
.
#whosThatbaby
#theBlessedLittleOne
#zulhijjahHayatiKorban